Post by Kopiah on Jun 9, 2015 21:59:04 GMT -5
Ulama yang membenarkan berzikir beramai-ramai berhujah dengan banyak hujah-hujah yang menyokong boleh berzikir beramai-ramai iaitu:
1. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 191 yang bermaksud: Mereka -mereka yang menyebut nama Allah secara berdiri, duduk dan berbaring....Ayat ini adalah umum yang nyata yang tidak boleh dikecualikan darinya kecuali adanya nas yang lain atas jalan pengecualian dan takhsis.
2. Ulama juga berhujah dengan banyak Hadith-hadith sahih yang banyak, antaranya:
i. Hadith Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bermaksud: Sesiapa yang menyebutku dalam satu kumpulan (al-mala`), Aku akan menyebutnya di dalam satu kumpulan yang lebih baik darinya. (Syarah Sahih Muslim, Jilid 17, hal.182).
Berkata Imam al-Suyuti RA: Zikir dalam al-mala` (berkumpulan), tidak boleh berlaku kecuali secara kuat (jahar). (al-Hawi li al-Fatawa, Jilid 1, hal. 389).
ii. Hadith riwayat Muslim dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW bersabda:
Sesungguhnya Allah Tabaraka wa Taala mempunyai Malaikat yang berjalan-jalan di atas muka bumi mencari majlis-majlis zikr, maka sekira dijumpai satu majlis, pada majlis zikir, mereka duduk bersama-sama mereka (ahli zikr), membentangkan sayap-sayap mereka (malaikat memanggil sesama mereka untuk turut serta) sehingga penuh antara mereka (ahli zikr) dan langit dunia. Apabila mereka (ahli zikr) bersurai, meraka yakni malaikat naik ke langit. Berkata: Allah SWT bertanya malaikat dan Dia sebenarnya mengetahui perihal mereka: Dari mana kamu datang? Para malaikat berkata: Kami datang dari tempat hamba-hamba Mu di bumi. Mereka bertasbih kepada Mu (yusabbihunaka), mereka , bertakbir kepada Mu (yukabbirunaka), bertahlil kepada Mu (yuhallilunaka), mereka memuji Mu (yahmadunaka), mereka memohon dari Mu. Berkata Allah SWT: Apa yang mereka pohon? Para Malaikat berkata: Mereka memohon syurga Mu. Berkata: Adakah mereka melihat syurga Ku? Malaikat berkata: Tidak wahai Tuhanku! Berkata (Allah SWT): Bagaimana agaknya sekiranya mereka melihatnya? Malaikat berkata: mereka akan memohon keamanan? Berkata (Allah SWT): Memihon keamanan dari apa? Berkata malaikat: Dari neraka Mu wahai Tuhan. Berkata (Allah SWT): Adakah mereka nampak Neraka Ku? Para malaikat berkata: Tidak. Berkata Allah SWT: Bagaimana agaknya kalau mereka dapat melihat neraka Ku? Para malaikat berkata: Mereka akan beristigfar memohon keampunan Mu. Berkata Allah SWT: Sesungguhnya Aku telah ampunkan dosa mereka, Aku kurniakan apa yang mereka minta, aku melindungi mereka dari perlindungan yang mereka minta. Berkata (Abu Hurairah): Berkata malaikat: Wahai tuhan, di kalangan mereka adaseorang hamba yang banyak dosa. Dia melalui kawasan itu, dan duduk bersama-sama mereka. Berkata: Berkata Allah SWT: Untuknya Aku ampunkan, merekalah kaum yang tidak menjadi celaka disebabkan adanya orang (pembuat maksiat) yang menyertai mereka.
Hadith sahih tersebut dengan jelas menyebut majlis zikr. Justeru, majlis zikir yang dipimpin oleh ketua, bukanlah suatu bidaah berdasarkan hadith-hadith di atas.
Lihat komen Imam Nawawi RA berkaitan Hadith di atas: Pada Hadith ini mengenai kelebihan berzikir, kelebihan majlis zikir dan kelebihan berada bersama-sama ahli zikr, walaupun tidak berzikir bersama mereka, dan kelebihan berada bersama orang-orang soleh dan keberkatan mereka. (Syarah Sahih Muslim, Jilid 17, hal.184, 185).
Manakala hadith yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi RA, juga diriwayatkan oleh Imam Muslim.
Imam Nawawi meletakkan hadith ini di bawah tajuk "Bab Istihbab khafdh al-saut bi al-Zikr illa fi al-Mawadhi' allati warada al-Syar' fiha ka al-talbiyah wa ghairiha" bermaksud: Bab sunat merendahkan suara dengan zikir kecuali pada tempat-tempat yang Syara' mensyariatkannya (dengan kuat) seperti talbiah dan selainnya". (Syarah Sahih Muslim, Jilid 17, hal.184, 185).
Kenapa Imam Nawawi menyimpulkan sebagai sunat merendahkan suara dan bukan wajib?
Jawapannya ialah suruhan yang pada asalnya berbentuk wajib, tetapi sekiranya ada 'qarinah' yakni dalil-dalil lain yang seumpamanya (dari al-Quran dan hadith) yang menunjukkan sebaliknya, maka suruhan tadi bukan berbentuk 'al-hatmi' atau putus, maka kedudukannya adalah sunat sahaja. Ulama mengeluarkan hukum, bukan berpandu satu hadith, tetapi himpunan ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith.
Bagaimana dengan atsar AbduLlah Ibnu Mas'ud melarang halaqah zikir dan menyatakannya itu adalah perbuatan ahli bid'ah ?
Atsar ini diriwayatkan oleh Imam ad-Daarimi dalam sunannya, jilid 1 halaman 68, dengan sanad daripada al-Hakam bin al-Mubarak daripada 'Amr bin Yahya daripada ayahnya daripada datuknya (Amr bin Salamah). Menurut sebahagian muhadditsin, kecacatan atsar ini adalah pada rawinya yang bernama 'Amr bin Yahya (yakni cucu Amr bin Salamah). Imam Yahya bin Ma`in memandang "riwayat daripadanya tidak mempunyai nilai". Imam adz-Dzahabi menyenaraikannya dalam kalangan rawi yang lemah dan tidak diterima riwayatnya, dan Imam al-Haithami menyatakan bahawa dia adalah rawi yang dhoif. Jadi sanad atsar ini mempunyai pertikaian di kalangan muhadditsin, sekalipun dinyatakan shohih oleh al-Albani.
Imam as-Sayuthi rhm. berhubung atsar Sayyidina Ibnu Mas`ud ini. Ikhwah boleh rujuk tulisan Imam Besar ini yang dengan judul "Natiijatul Fikri fil Jahri fidz Dzikri" dalam "al-Hawi lil Fatawi" juz 1. Di situ Imam asy-Sayuthi menyenaraikan 25 hadits dan atsar yang diriwayatkan oleh asy-Syaikhan hinggalah yang diriwayatkan oleh al-Mirwazi berhubung berzikir secara jahar dan majlis zikir berjemaah. Berhubung atsar Ibnu Mas`ud, Imam asy-Sayuthi pada halaman 394 menyatakan, antara lain:
(Jika engkau kata) Telah dinukilkan yang Sayyidina Ibnu Mas`ud telah melihat satu kaum bertahlil dengan mengangkat suara dalam masjid, lalu beliau berkata: "Tidak aku melihat kamu melainkan (sebagai) pembuat bid`ah", sehingga dikeluarkannya mereka dari masjid tersebut. (Kataku - yakni jawapan Imam as-Sayuthi) Atsar daripada Sayyidina Ibnu Mas`ud r.a. ini memerlukan penjelasan lanjut berhubung sanadnya dan siapa yang telah mengeluarkannya daripada kalangan para hafidz dalam kitab-kitab mereka.
Jika dikatakan ianya memang tsabit, maka atsar ini bercanggah dengan hadits-hadits yang banyak lagi tsabit yang telah dikemukakan yang semestinya didahulukan (sebagai pegangan) berbanding atsar Ibnu Mas`ud apabila berlaku percanggahan.
Kemudian, aku lihat apa yang dianggap sebagai keingkaran Sayyidina Ibnu Mas`ud itu (yakni keingkarannya terhadap majlis-majlis zikir bersama-sama tadi) akan penjelasan Imam Ahmad bin Hanbal dalam kitab "az-Zuhd" yang menyatakan:-
Telah memberitahu kami Husain bin Muhammad daripada al-Mas`udi daripada 'Aamir bin Syaqiiq daripada Abu Waail berkata:- "Mereka-mereka mendakwa 'Abdullah (yakni Ibnu Mas`ud) menegah daripada berzikir (dalam majlis-majlis zikir), sedangkan 'Abdullah tidak duduk dalam sesuatu majlis melainkan dia berzikirUllah dalam majlis tersebut."
Dalam kitab yang sama, Imam Ahmad juga meriwayatkan bahawa Tsabit al-Bunani berkata:- "Bahawasanya ahli dzikrUllah yang duduk mereka itu dalam sesuatu majlis untuk berdzikrUllah, jika ada bagi mereka dosa-dosa seumpama gunung, nescaya mereka bangkit dari (majlis) dzikrUllah tersebut dalam keadaan tidak tersisa sesuatupun dosa-dosa tadi pada mereka", (yakni setelah berzikir, mereka memperolehi keampunan Allah ta`ala).
Wallahua'lam bissowab.
Sumber :
1. Dr Asmadi Mohamed Naim : drasmadinet.blogspot.com/2007/03/jawapan-sanggahan-terhadap-berzikir.html
2. Ustaz Abu Muhammad : bahrusshofa.blogspot.com/2006/11/zikir-jemaah-atsar-sayyidina-abdullah.html