Assalamu'alaikum,
terdapat satu laman web yang menulis begini :
Syirik iaitu bila menjadikan orang-orang yang sudah meninggal sebagai perantara dalam beribadah, termasuk berdoa kepada mereka, meminta hajat dan memohon pertolongan daripada mereka.”Sila rujuk beberapa kitab Tauhied karangan para Imam Ahlis Sunnah wal Jama’ah yang ada menyebutkan nash para Imam Ahlis Sunnah wal Jama’ah seperti Imam Asy-Syaafi’ee, Imam Maalik, Imam Abu Haniefah, Imam Ahmad dan lain lagi.Kata Imam Abu Haniefah رحمه الله (ertinya):“Adalah dibenci jika seseorang berdoa dengan mengatakan: Aku memohon kepada Mu dengan hak si fulan atau hak Nabi-nabi Mu dan hak Rasul-rasulMu atau hak Al-Bait Al-Haraam dan Al-Masy’aril Haraam”(Sila rujuk: “Syarh Al-‘Aqiedah Ath-Thohaawiyah hal 234, Ittihaafus Sa’aadaat Al-Muttaqien jilid II, hal 285, Syarh Al-Fiqh Al-Akbar: hal 198. )'
Benarkah dakwaan ini ?
Tawassul adalah masalah "kaifiyyat" berdoa yang tidak bersangkutan dengan masalah aqidah sehingga boleh mendakwa ianya membawa kepada syirik.
Isunya adalah antara perbezaan pendapat samada disyariatkan tawassul secara mutlak ataupun khusus dengan nama-nama Allah s.w.t., amalan soleh dan sebagainya.
Tawassul kepada Allah s.w.t. bermaksud: mengambil perantaraan untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. dan mendapat pahala dengan mengambil jalan perantaraan dan sebab yang membawa kepadanya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "wahai orang yang beriman, takutlah kepada Allah dan carilah wasilah (perantaraan) kepada-Nya. (Al-Ma'idah: 35)
Jenis-jenis tawassul yang disepakati ulama' tentang keharusannya:
1)Tawassul kepada Allah s.w.t. dengan zat Allah s.w.t.. Ianya berdasarkan firman Allah s.w.t.: "bersabarlah, dan tidaklah sabar kamu melainkan dengan Allah" (An-Nahl: 127)
2)Tawassul dengan nama Allah s.w.t. dan sifat-sifat-Nya. Hal ini berdasarkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "bagi Allah nama-nama yang mulia, maka berdoalah dengannya" (Al-A'raf: 180)
3)Tawassul dengan amal soleh. Hal ini berdasarkan doa yang disebutkan di dalam Al-Qur'an "wahai Tuhan kami, sesunnguhnya kami beriman, maka ampunilah kami…" (Ali- Imran: 10)
Adapun jenis-jenis tawassul yang diperselisihkan oleh para ulama' tentangnya ialah, tentang tawassul kepada Allah s.w.t. dengan perantaraan Nabi Muhammad s.a.w., para Nabi a.s., para malaikat dan para solihin.
Sheikh Syed Abu Al-Husien Abdullah bin Abdul Rahman Al-Makki r.h.l. menegaskan bahawa,
para ulama sebelum Ibn Taimiyah sepakat tentang keharusan bertawassul dengan diri Rasulullah s.a.w. dan para solihin, sehinggalah datang Ibn Taimiyah lantas menyalahi pendapat para ulama' sebelumnya.Sebenarnya, kebanyakkan para ulama empat mazhab bersepakat tentang keharusan bertawassul dengan Rasulullah s.a.w. dan orang-orang soleh, menurut pendapat Dr. Yusuf Al-Qaradhawi.
Imam Ahmad bin Hanbal r.h.l. mengharuskan bertawassul kepada Rasulullah s.a.w. semata-mata, tidak boleh baginya, bertawassul dengan selain Rasulullah s.a.w.
Dr Yusuf Al-Qaradhawi mengandaikan bahawa, golongan yang membenarkan tawassul kepada Rasulullah s.a.w. sahaja, kerana bagi mereka, hanya Rasulullah s.a.w. sahaja yang telah dijamin sebagai ahli syurga dan diredhai Allah s.w.t., sedangkan orang-orang soleh yang lain belum pasti diredhai Allah s.w.t.
Menurut beliau, qiyasan ini tidak tepat kerana ianya menghukum tentang sesuatu perkara yang ghaib.
Hakikatnya, kita bertawassul kepada orang-orang yang soleh kerana husnu-dhon (pra sangka baik) kita terhadap Allah s.w.t. dan para solihin, yang mana, mudah-mudahan Allah s.w.t. meredhai mereka.
Adapun khilaf baru dalam Islam, tentang tawassul dengan Rasulullah s.a.w., lahir dari Ibn Taimiyah kerana menurutnya, tidak boleh bertawassul dengan si mati sedangkan Rasulullah s.a.w. telahpun wafat. Adapun tawassul yang dibolehkan hanyalah tawassul dengan orang-orang yang masih hidup. Dalil yang beliau gunakan ialah tentang hadis di mana Saidina Umar Al-Khattab bertawassul dengan Al-Abbas setelah kewafatan Rasulullah s.a.w. dalam meminta hujan kepada Allah s.w.t. Sebelum Ibn Taimiyah, dapat dilihat kesepakatan ulama bahawa, diharuskan bertawassul kepada Rasulullah s.a.w. samada ketika baginda hidup mahupun setelah kewafatan Baginda s.a.w.
Dalil Keharusan bertawasssul dengan Rasulullah s.a.w. sewaktu hidup dan setelah kewafatan Baginda s.a.w.:
Seorang buta bertemu Rasulullah s.a.w. lalu meminta agar Rasulullah s.a.w. berdoa kepada Allah supaya Allah menyembuhkannya. Rasulullah s.a.w. kemudiannya mengajarkannya tentang suatu amalan, agar Allah s.w.t. memperkenankan hajatnya.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "
ambillah wuduk dan perelokannya, kemudian solat dua rakaat. Setelah itu, berdoalah dengan doa ini: "Wahai Tuhanku, aku berdoa meminta kepada-Mu dengan Nabimu, Nabi rahmat, wahai Muhammad, aku mengadap Tuhan-Ku dengan (perantaraan) mu, dalam meminta hajatku, maka perkenankanlah hajatku…"
Setelah lelaki buta itu berdoa dengan doa itu, Allah s.w.t. menyembuhkan penyakitnya. Hadis ini riwayat Ahmad, An-Nasa'i, Ibn Majah dan Ibn Huzaimah. Menurut Al-Baihaqi, Al-Haithami, At-Tabari, dan Az-Zahabi, hadis ini hadis sahih.
Hadis ini menunjukkan secara jelas, tentang kebolehan atau keharusan berdoa kepada Allah s.w.t. dengan betawassul dengan Rasulullah s.a.w., secara mutlak, tanpa terbatas dengan kehidupan Baginda s.a.w. semata-mata.
Pendapat yang menolak tawassul setelah kewafatan Baginda s.a.w. tidak tepat kerana hadis ini mutlak, tentang doa bertawassul dengan Rasulullah s.a.w., tidak kira sama ada ketila Baginda s.a.w. hidup ataupun setelah Baginda s.a.w. wafat.
Menurut Sheikh Syed Muhammad Alawi r.a., Imam At-Tabari turut meriwayatkan bahawa, para sahabat masih menggunakan lafaz doa tawassul tersebut setelah kewafatan Baginda s.a.w. [Rujuk kitab Mafahim yajib an-tusohhah]
Dalil yang lain: Tawassul Adam dengan Rasulullah s.a.w.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Setelah Nabi Adam a.s. melakukan kesilapan, beliau berkata: : "Wahai Allah, dengan hak Muhammad, ampunkanlah aku." Allah s.w.t. berfirman: " Wahai Adam, bagaimana engkau mengenali Muhammad, sedangkan aku belum menciptakannya lagi?
Nabi Adam a.s. menjawab, tatkala engkau menciptakan aku dengan tangan-Mu (kekuasaan-Mu), dan meniupkan ke dalamku roh-Mu, aku mengangkatkan kepalaku lantas terlihat di arasy ada tertulis, "Tiada Tuhan selain Allah, Muhammad ialah Rasulullah". Maka, aku tahu, engkau tidak akan meletakkan suatu nama beriringan dengan nama-Mu, melainkan engkau teramat mencintainya."
Allah s.w.t. berfirman: "benar wahai Adam. Dia (Muhammad) sangat ku cintai, maka, berdoalah dengan haknya, sesungguhnya aku telah mengampunimu. Ketahuilah bahawasanya, kalau tidak kerananya (Rasulullah s.a.w.) nescaya aku tidak menciptamu."
Hadis riwayat Al-Hakim, As-Suyuti dan Al-Baihaqi. Menurut Al-Hakim dan As-Suyuti, hadis ini hadis sahih. Menurut Al-Baihaqi, hadis ini tidak paslu. Hadis ini juga turut disahihkan oleh Al-Qostolani, Az-Zarqoni dan As-Subki.
Hadis ini juga ada jalan yang lain, melalui riwayat Ibn Abbas, dengan lafaz, kalau bukan kerananya (Muhammad), nescaya Aku tidak menciptakan Adam, Syurga dan Neraka." dan diriwayatkan oleh Al-Hakim, Al-Jauzi dan Ibn Kathir dalam Al-Bidayah wa An-Nihayah (jilid 1, m/s 180)
Walaupun ada sebahagian ulama yang mendakwa hadis ini hadis palsu, namun menurut ulama' muhaqqiqin, makna hadis tersebut tetap sahih, seperti yang dijelaskan oleh Sheikh Syed Muhammad Alawi Al-Maliki dalam bukunya, Mafahim yajib An Tusohhah.
Dalil tentang keharusan bertawassul dengan selain daripada Rasulullah s.a.w.
Majoriti ulama Islam juga mengharuskan bertawassul kepada para solihin dan para wali Allah, selain daripada bertawasul dengan Rasulullah s.a.w.
Hal ini seperti yang dijelaskan di dalam hadis sahih Al-Bukhari r.a., di mana, Saidina Umar pernah berdoa meminta hujan kepada Allah s.w.t. dengan menyebut "Wahai Tuhan kami, kami pernah bertawassul (meminta hujan) dengan (perantaraan) Nabimu, maka Engkau menurunkan hujan, kini, kami bertawassul dengan bapa saudara Nabimu (Al-Abbas), maka turunkanlah hujan kepada kami".
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa, keharusan berdoa dengan orang-orang soleh selain daripada bertawassul dengan Rasulullah s.a.w.. Adapun Ibn Taimiyah menggunakan hadis ini untuk membela pendapat beliau bahawa, tawassul kepada Rasulullah s.a.w. tidak dibolehkan selepas kewafatan Baginda s.a.w. kerana Saidina Umar tidak bertawassul dengan Rasulullah s.a.w. lagi setelah ketiadaan Baginda s.a.w. dalam hadis tersebut.
Kefahaman Ibn Taimiyah mengenai hadis tersebut disanggah oleh ramai para ulama yang muktabar. Hal ini kerana, telah terbukti di dalam hadis yang lain, di mana para sahabat masih lagi bertawassul dengan Rasulullah s.a.w. setelah kewafatan Baginda s.a.w., seperti yang dinukilkan oleh Shiekh Syed Muhammad Alawi Al-Maliki.
Menurut Sheikh Syed Muhammad Alawi Al-Maliki lagi, Saidina Umar r.a. tidak bertawassul kepada Allah dengan Rasulullah s.a.w. untuk meminta hujan dalam hadis tersebut untuk menjelaskan bahawa, kita boleh bertawassul dengan selain daripada Rasulullah s.a.w.
Saidina Umar tidak bertawassul dengan Rasulullah s.a.w. dalam perkara meminta hujan kerana hujan merupakan rahmat dan keperluan bagi yang masih hidup, bukan bagi yang telah tiada. Maka, Saidina Umar bertawassul dengan Al-Abbas kerana Al-Abbas masih lagi hidup, dan beliau (Al-Abbas) berhajat juga kepada air pada musim kemarau tersebut. Jadi kefahaman Saidina Umar r.a. dalam situasi tersebut, menyebabkan beliau bertawassul kepada Allah s.w.t. dengan kedudukan Al-Abbas di sisi Allah s.w.t. kerana pada ketika itu, Saidina Al-Abbaslah memerlukan air dari hujan, berbanding dengan Rasulullah s.a.w. yang telah wafat pada ketika itu, yang tidak berhajat kepada hujan. Maka, beliau meminta belas kasihan Allah s.w.t. dengan kedudukan Al-Abbas yang juga masih hidup dan memerlukan hujan pada ketika itu.
Maka, Saidina Umar r.a. bertawassul dengan Saidina Al-Abbas di hadapan Allah s.w.t. untuk menagih simpati Allah s.w.t. supaya menurunkan hujan, dan memberi minum umat Islam yang masih hidup termasuklah kekasih Allah dan Rasulullah s.a.w., Al-Abbas, bukan kerana tidak boleh bertawassul kepada Rasulullah s.a.w. setelah kewafatan Baginda s.a.w.
Dalil yang lain tentang keharusan bertawassul dengan orang-orang soleh, seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Majah r.a., tentang doa sewaktu keluar dari rumah menuju solat, iaitu "Wahai Tuhanku, aku meminta kepada-Mu, dengan hak orang-orang yang berjalan (di atas jalan) menujumu, dengan hak orang yang berjalan ini… maka jauhilah kami dari azab neraka…" (Hadis riwayat Ibn Majah) Al-Hafiz Abu Hasan mengatakan, hadis ini, hadis hasan.
Berdasarkan hadis-hadis tersebut, jelaslah bahawa, berdoa kepada Allah dengan perantaraan Rasulullah s.a.w., para solihin dan sebagainya, dibenarkan di dalam Islam. Ini kerana, tawassul tidak ada kaitan dengan aqidah, kerana, setiap orang yang bertawassul, hanya menyakini, hanya Allah s.w.t. lah yang mampu memberi manfaat dan kemudaratan kepada mereka. Tawassul cuma suatua kaedah, diantara pelbagai kaedah-kaedah dalam berdoa kepada Allah s.w.t.
Wallahu a'lam