Adapun ilmu syariah, dan itulah yang dimaksud menjelaskannya maka adalah terpuji semuanya. Tetapi kadang-kadang bercampur dengan apa yang disangkakan itu syariah. Padahal adalah itu tercela. Dari itu, (ilmu syariah) terbahagi kepada dua:
1. Yang terpuji
2. Yang tercela
(Ilmu syariah) Yang terpuji mempunyai:
1. Pokok (dasar/usul/asas)
2. Cabang (furu’)
3. Muqaddimah
4. Pelengkap
POKOK
Yang pertama, pokok. Iaitu empat:
1. Kitabullah ‘Azza wa Jalla (Al-Quran)
2. Sunnah Rasul saw
3. Ijma’ ummat (kesepakatan ulama)
4. Peninggalan-peninggalan sahabat (atsar)
Dan ijma’ itu (termasuk ) pokok, dari segi bahwa dia menunjukkan kepada Sunnah. Maka adalah dia pokok pada derajat (darjah) ketiga.
Begitu pula peninggalan sahabat (atsar), maka dia juga pokok (kerana) menunjukkan pada sunnah, kerana para sahabat ra menyaksikan wahyu dan penurunann Al-Quran. Dan (mereka) mengetahui dengan petunjuk-petunjuk keadaan (akan) apa yang tidak diketahui oleh orang lain.
FURU’ (CABANG)
Yang kedua, cabang (furu’), iaitu apa yang difahamkan dari pokok-pokok di atas tadi (iaitu Al-Quran, sunnah, ijma’ dan atsar). Tidak menurut yang dikehendaki oleh kata-katanya, tetapi menurut pengertian yang dapat dicapai oleh akal fikiran. Dengan sebab itu maka faham menjadi luas, sehinga dari kata-kata yang diucapkan, dapat difahami (perkara) yang lain.
Seperti apa yang dapat difahami dari sabda Nabi saw:
“Hakim (qadhi) itu tidak menghakimi (menjatuhkan hukuman) ketika dia sedang marah.” (Bukhari)
Bahawa dia (juga tentunya) tidak mengadili juga ketika mahu buang air, lapar atau merasa sakit.
Ilmu furu’ itu terbahagi dua:
1. Pertama, menyangkut (berkaitan) dengan kepentingan duniawi. Dan termuat dalam kitab-kitab fiqh. Yang bertanggungjawab terhadapnya ialah para ulama fiqh. Dan mereka itu adalah ulama dunia.
2. Kedua, menyangkut dengan kepentingan akhirat iaitu hal keadaan hati, budi pekerti terpuji dan tercela, hal ehwal yang direlai dan dibenci Allah (yakni ilmu tasawuf). Pengetahuan (tentang ilmu tasawuf) ini termuat pada bahagian penghabisan dari kitab ini, yakni dalam jumlah kitab Ihya’ ‘Ulumiddin.
MUQADDIMAH (ILMU PENGANTAR)
Yang ketiga : muqaddimah (ilmu pengantar), iaitu ilmu yang merupakan alat, seperti ilmu bahasa dan tatabahasa. Keduanya merupakan alat untuk mengetahui isi Kitabullah dan Sunnah Rasul saw.
Bahasa dan tatabahasa itu tidaklah termasuk ilmu syariah, tetapi harus dipelajari disebabkan agama. Kerana syariah (agama Islam) ini datangnya dengan bahasa Arab.
Dan semua agama tidak lahir selain dengan sesuatu bahasa. Maka jadilah mempelajari bahasa itu sebagai alat. Dan setengah dari alat ialah ilmu menulis tulisan. Tetapi tidaklah itu penting kerana Rasulullah saw sendiripun tidak tahu tulis baca (ummiy).
Kalaulah tergambar dapat dihafal semua yang didengar, maka menulis itu tidak perlu lagi. Tetapi pada ghalibnya, (orang ramai) lemah dari hafalan, maka menulis itu jadi penting.
PELENGKAP/ PENYEMPURNA
Yang keempat, penyempurna : iaitu mengenai ilmu Al-Quran. Dan terbahagi kepada yang berhubungan dengan kata-katanya seperti mempelajari qiraah (cara bacaan), dan bunyi hurufnya (makhraj). Dan yang berhubung dengan pengertiannya seperti tafsir kerana pengertian itu berpegang pula kepada naqal (keadaan sesuatu ayat itu seperti asbabun nuzul dan suasana sekeliling).
Adapun ilmu penyempurna pada hadith Nabi dan peninggalan sahabat (atsar), iaitu ilmu mengenai perawi-perawi hadith, namanya, keturunannya, nama-nama sahabat,, keperibadiannya dan ilmu mengenai adalah (kejujuran) perawi-perawi dan keadaan mereka dalam meriwayatkan hadith. (Semua ini perlu) supaya dapat membezakan antara hadith lemah dan hadith kuat. Dan mengetahui umur mereka supaya dapat membezakan antara hadith mursal dan hadith musnad. Dan juga mengetahui yang berhubungan dengan musnad itu.
Inilah ilmu-ilmu syariah dan semuanya itu terpuji, bahkan semuanya termasuk fardhu kifayah.
syarahihya.blogspot.com/2011/06/audio-syarah-ihya-60-66.html