|
Post by abuzulfiqar on Nov 11, 2011 9:13:10 GMT -5
myalexanderwathern.blogspot.com/2011/10/cheng-ho-kemuslimannya-dan-hubungannya.htmlMUQADDIMAH “Assalamualaikum. Boleh ustaz berkongsi sedikit tentang Laksamana Cheng Ho? Saya pernah dengar Laksamana China ini beragama Islam dan banyak juga jasanya. Ada kaitan juga dengan Kesultanan Melayu Melaka.Boleh ustaz kongsi pandangan jika ustaz ada pengetahuan mengenainya? Terima kasih.” Begitulah bunyi sebuah soalan yang diajukan kepada saya di laman Bermesra Dengan Kebenaran Mutlak, secara tepatnya di myalexanderwathern.blogspot.com/2008/11/tentang-laman-ini.html . Dalam usaha menjawab soalan yang dikemukakan, saya akan memberi tumpuan terus pada kehendak soalan iaitu tentang : 1. keIslaman Laksamana Cheng Ho. 2. hubungan beliau dengan Kesultanan Melayu Melaka. Hal-hal lain tentang Cheng Ho tidak akan saya sentuh walaupun banyak maklumat menarik yang boleh kita teliti bersama-sama. Saya juga akan terus kepada penghujahan, tanpa menggunakan bahasa yang berbunga-bunga. Dari segi kekuatan sesuatu hujah, saya letakkan kategori tersendiri iaitu : 1. Hujah yang KUKUH – maksudnya pada saya hujah ini sukar untuk ditidakkan. 2. Hujah yang BAIK – maksudnya hujah yang boleh kita jadikan sandaran walaupun ruang untuk mempertikaikannya masih agak luas juga. 3. Hujah yang LEMAH – maksudnya hujah ini memang boleh dipertikaikan dan tidak boleh dijadikan sandaran, kecuali untuk pengetahuan sampingan. 4. Hujah yang TERTOLAK – maksudnya memang tidak boleh dijadikan sandaran walaupun sekadar sandaran sampingan. Namun begitu, jika ada sekumpulan hujah yang lemah yang menceritakan perkara yang sama, isi hujah yang lemah itu boleh dinaiktaraf menjadi hujah yang baik. Begitu juga jika ada sekumpulan hujah yang baik yang menceritakan perkara yang sama, ia boleh ditingkatkan menjadi hujah yang kukuh. Beri perhatian kepada kategori sesuatu hujah itu pada setiap hujah yang akan kita bentangkan. Artikel ini mungkin akan jadi sebuah artikel yang panjang. Oleh itu, sebelum para pembaca menidakkan sesuatu penemuan atau pandangan saya, sebaik-baiknya tunggu sehingga saya buat kesimpulan di akhir artikel nanti. Selamat mengambil manfaat : )
|
|
|
Post by abuzulfiqar on Nov 11, 2011 9:13:52 GMT -5
HUJAH KEMUSLIMAN CHENG HO 1 :
Rata-rata masyarakat dunia mengakui Laksamana Cheng Ho sebagai seorang muslim, ataupun sekurang-kurangnya tidak menidakkan kemuslimannya.
Penilaian kita :
Pandangan majoriti masyarakat dunia dan kepopularitian maklumat yang tersebar bukanlah penentu kebenaran, namun sekurang-kurangnya ia perlu diambil kira juga sebagai sandaran sampingan. “Ming Shi” atau Sejarah Dinasti Ming tidak bercerita tentang Cheng Ho kecuali dalam pernyataan yang sangat sedikit iaitu : “Cheng Ho berasal dari wilayah Yunan, dikenal sebagai Kasim San Bao.” Jadi Sejarah Dinasti Ming tidak menceritakan langsung tentang keturunan dan agama Cheng Ho. Namun ada kemungkinan dia seorang muslim kerana begitu ramai penduduk wilayah Yunan yang beragama Islam terutamanya suku Hui yang melahirkan Cheng Ho.
Setakat bahagian ini, hujah mengatakan Laksamana Cheng Ho seorang muslim masih bertaraf LEMAH kecualilah jika dikuatkan oleh hujah-hujah yang lain yang dapat meningkatkan kekuatannya.
Mari pergi ke hujah yang ke-2.
HUJAH KEMUSLIMAN CHENG HO 2 :
Beberapa orang sarjana mengatakan Cheng Ho ialah keturunan Nabi Muhammad s.a.w, iaitu keturunan yang ke-37. Antaranya Prof. Haji Li Shihou dari China dan Usman Effendy dari Indonesia. Dalam mencari salasilah Cheng Ho, Prof. Haji Li Shihou meneliti dua sumber iaitu Mukaddimah Salasilah Marga Cheng (Zheng Shi Jia Pu Shou Xu) yang ditemui di Nanjing (Nanking) dan Salasilah Sayyid Ajall (Sai Dian Chi Jia Pu) yang ditemui di Waisan, Yunan. (1)
Menurut Usman Effendy : “Ahli sejarah bernama Prof. Haji Li Shihou itu dalam literaturnya menemui bukti bahawa moyang yang ke-11 dari Cheng Ho ialah utusan negeri Bokhari yang bernama Saiyidina Syafi’i, dan Syafi’i ini ialah keturunan Rasulullah. Dengan demikian Saiyidina Syafi’i ialah cucu ke-26 dari Nabi Muhammad saw.” (2)
Di bawah ialah salasilah dari Nabi Muhammad sampailah Cheng Ho sebagaimana yang dikeluarkan oleh Prof. Kong Yuanzhi (3) dalam bukunya, berdasarkan penelitian yang dibuat oleh Prof. Haji Li Shihou. (Nama-nama dalam kurungan adalah agakan saya sahaja, bukannya pendapat Prof. Kong Yuanzhi)
1. Muhammad (Nabi Muhammad s.a.w)
2. Ali (Saiyidina Ali)
3. Hou-Sai-Ni (Saiyidina Husain)
4. Yi-Bu-Lai-Xi-Mo (Ibrahim)
5. Yi-Si-Ma-Ai-Le (Ismail)
6. Xie-Xin
7. E-Le-Hou-Sai-Ni (Al-Husaini)
8. Ye-Ha-Ya (Yahya)
9. E-Ha-Mo-De (Ahmad)
10. Li-Sha-Shi yang dikatakan pemerintah kerajaan Mi-Si-Le (mungkin wilayah Mosul di Iraq)
11. She-Li-Ma (Salim)
12. Mu-Lu-Ye-Mi
13. Ya-Xin (Yaasin)
14. Lu-Er-Ding (Jalaluddin)
15. Mu-Ba-Er-Sha (Muhammad Basyah)
16. Yi-Xi-Ma-Xin
17. Ha-San (Hasan)
18. Gu-Bu-Din (Gulbuddin)
19. Mu-Xie (Musa)
20. Hu-Fu-Ding (....fuddin)
21. Wu-Ma-Nai-Ding (Aminuddin)
22. Wu-Ma-Er (Umar) (4)
23. Cha-Fa-Er (Ja’far)
24. Zhe-Ma-Nai-Ding (Zainal Abidin)
25. An-Du-Er-Yi
26. Suo-Fe-Er yang dipercayai sebagai Syafi’i
27. Sai-Yan-Su-Lai-Gong-Na (Syamsul ..............)
28. Su-Sha-Lu-Gu-Chong-Yue/Su Zhu Sa
29. Kan-Ma-Ding-Yu Su-Pu (Kamaruddin Yusuf)
30. Ma-Ha-Mu-Ke-Ma-Nai-Ding (Mahmud Kamaluddin)
31. Sai-Dian-Chi/ Sayyid Ajall/ Syamsuddin
32. Nu-Su-La-Ding (Nasruddin)
33. Bai-Yan
34. Mi-Di-Na/ Haji (Madinah)
35. Mi-Li Jin/ Ma Haji
36. Ma He/ Cheng Ho
Salasilah ini pada saya bertaraf hujah yang LEMAH juga. Ia bukanlah bukti kukuh bahawa Laksamana Cheng Ho beragama Islam. Kerana :
1. Boleh jadi ada kesalahan dalam salasilah ini, sama dan yang disengajakan ataupun tidak. Belum tentu Cheng Ho benar-benar berketurunan Nabi Muhammad. Banyak kes di seluruh dunia menunjukkan salasilah sesuatu keturunan mengalami pengubahsuaian kerana faktor-faktor politik, keselamatan, pengaruh dan lain-lain.
2. Tidak semestinya seorang yang lahir dalam kalangan muslim akan kekal sebagai muslim juga sehingga ke akhir hayatnya.
Namun hujah yang baik di sini ialah Cheng Ho lahir dari keturunan muslim.
Sekarang tumpukan perhatian kepada Suo-Fei-Er pada tangga ke-26. Siapakah beliau?
“Dalam Mukaddimah Silsilah Marga Cheng tercatat bahawa Suo-Fei-Er/Saiyidina Syafi’i ialah Kaisar Kerajaan Bokhari. Pada tahun Xi Ning ke-3 Dinasti Song (1070 M) Saiyidina Syafi’i menyerahkan diri kepada Kaisar Song Tiongkok akibat negerinya diserang oleh negara tetangganya....... Ternyata Cheng Ho ialah keturunan dari Saiyidina Syafi’i.” (5)
Li-Sha-Shi yang berada di tangga ke-10 dikatakan pemerintah kerajaan Mi-Si-Le, yang berkemungkinan wilayah Mosul di Iraq. Sayyid Syafi’i yang berada di tangga ke-26 pula dikatakan pemerintah di Bokhari, yang mungkin Bukhara di Uzbekistan hari ini. Cheng Ho pula lahir di China. Dari sudut penghijrahan keturunan ini nampaknya seakan-akan ada kesinambungan. Dari Iraq, berkembang ke Uzbekistan dan berkembang pula ke China. Dari Asia Barat ke Asia Tengah ke Asia Timur.
Jalur keturunan dari Sayyid Syafi’i sampai ke Cheng Ho pun bertaraf lemah juga kerana ada pertikaian yang akan dibentangkan di bawah nanti. Oleh itu dari Sayyid Syafi’i hingga ke Nabi Muhammad tentulah lebih LEMAH lagi.
Mari kita lihat para pengisi salasilah dari Sayyid Ajal hingga Cheng Ho:
· Sayyid Ajall/ Syamsuddin
· Nu-Su-La-Ding (Nasruddin) – anak pertama Sayyid Ajal.
· Bai-Yan
· Mi-Di-Na/ Haji (Madinah)
· Mi-Li Jin/ Ma Haji
· Ma He/ Cheng Ho
Namun seorang pengkaji bernama Qiu Shusen memberikan jalur keturunan Cheng Ho yang lain:
· Sayyid Ajal/ Shamsuddin
· Shan-Su-Ding-Wu-Mo-Li / Shamsuddin Umar – anak keempat Sayyid Ajal.
· Bai Yan
· Mi-Di-Na/ Haji
· Mi-Li-Jin/ Ma Haji
· Ma-He / Cheng Ho (6)
Salasilah Cheng Ho dicabar lagi oleh seorang pengkaji lain bernama Zheng Yijun. Jalur keturunan yang diberikannya ialah :
· Sayyid Ajal/ Syamsuddin
· Ma-Su-Hu –anak kelima Sayyid Ajal
· Ma-Bai-Yan
· Cha-Er-Mi-Di-Na
· Mi-Li-Jin/ Ma Haji
· Cheng Ho (7)
Jadi, siapa sebenarnya anak Sayyid Ajal/Shamsuddin yang menjadi bapa kepada Bai-Yan?
1. Nu-Su-La-Ding (Nasruddin) – anak pertama Sayyid Ajal?
2. Shan-Su-Ding-Wu-Mo-Li / Shamsuddin Umar – anak keempat Sayyid Ajal?
3. Ma-Su-Hu –anak kelima Sayyid Ajal?
Yang mana satu? Percanggahan ini tentunya menurunkan sedikit kredibiliti (meLEMAHkan) salasilah Cheng Ho menuju ke Sayyid Ajal, apatah lagi menunju ke Nabi Muhammad s.a.w. Namun ketiga-tiga pengkaji bersetuju bahawa Cheng Ho keturunan Sayyid Ajal dan Sayyid Syafi’i.
Setakat bahagian ini, dakwaan mengatakan Laksamana Cheng Ho berketurunan Nabi Muhammad masih LEMAH, namun dakwaan kemusliman Cheng Ho semakin KUAT kerana nampaknya memang benar dia lahir daripada keluarga muslim. Kita teruskan penelitian kita.
(1) Kong Yuanzhi, Cheng Ho – “Muslim Tionghoa, Misteri Perjalanan Muhibah di Nusantara”, Jakarta, Yayasan Pustaka Obor Indonesia, 2011,ms. 19-20.
(2) H. Usman Effendy, “Laksamana Haji Cheng Ho Belayar ke Indonesia sebagai Niagawan dan Mubaligh”, Angkatan Bersenjata, 18 Julai 1987
(3) Kong Yuanzhi, Cheng Ho – “Muslim Tionghoa, Misteri Perjalanan Muhibah di Nusantara”, Jakarta, Yayasan Pustaka Obor Indonesia, 2011,ms. 21.
(4) Nama ini difikirkan oleh sahabat saya Encik Mokhri Hussin.
(5) Kong Yuanzhi, Cheng Ho – “Muslim Tionghoa, Misteri Perjalanan Muhibah di Nusantara”, Jakarta, Yayasan Pustaka Obor Indonesia, 2011,ms. 20.
(6) Qiu Shuhen, “Moyang Cheng Ho dan Cheng Ho”, Panitia (ED.), II, 1985, ms 97-113.
(7) Zheng Yijun, “Tentang Pelayaran Cheng Ho ke Samudera Barat”, Bali Penerbit Samudra, Beijing, 1985, ms 25.
HUJAH KEMUSLIMAN CHENG HO 3 :
Dikatakan bapa dan datuk Laksamana Cheng Ho sudah melaksanakan ibadah haji ke Makkah (8).
Penilaian kita :
Memang datuk dan bapanya dipercayai beragama Islam dan kemungkinan mereka pernah mengerjakan ibadah haji, namun tidak ada catatan ditemui tentang berhajinya Cheng Ho walaupun 7 kali dia merentasi lautan luas. Pada saya, muslimnya datuk dan bapanya bertaraf BAIK, hajinya mereka bertaraf LEMAH dan muslimnya Cheng Ho juga bertaraf LEMAH. Namun begitu, jika digabungkan dnegan hujah-hujah sebelum ini, hujah kemusliman Cheng Ho semakin baik.
(1) Kong Yuanzhi, Cheng Ho – “Muslim Tionghoa, Misteri Perjalanan Muhibah di Nusantara”, Jakarta, Yayasan Pustaka Obor Indonesia, 2011,ms. 30.
|
|
|
Post by abuzulfiqar on Nov 11, 2011 9:17:27 GMT -5
HUJAH KEMUSLIMAN CHENG HO 4 :
Pada tahun 1405, sebelum membuat pelayaran besar pertamanya, Cheng Ho meminta dituliskan sesuatu pada batu nesan bapanya. Menurut tulisan pada nesan tersebut, bapa Cheng Ho bernama Ma Haji (9).
Penilaian kita :
Ini hujah yang LEMAH kerana tidak jelas menunjukkan agama Cheng Ho atau agama bapanya.
(2) Kong Yuanzhi, Cheng Ho – “Muslim Tionghoa, Misteri Perjalanan Muhibah di Nusantara”, Jakarta, Yayasan Pustaka Obor Indonesia, 2011,ms. 30.
HUJAH KEMUSLIMAN CHENG HO 5 :
Menurut “Catatan Bukit Barat” (Xi San Zha Ji) yang agak baru ditemui di Quanzhou, Cheng Ho pernah mengerjakan solat/ bersembahyang di Masjid Bukit Jiu Ri sebelum pelayarannya yang pertama (10).
Penilaian kita :
Ini hujah yang BAIK, cuma saya tidak memeprolehi banyak maklumat tentang “Catatan Bukit Barat” dan kredibilitinya. Namun hal ini jelas menunjukkan masyarakat China dikawasan itu sejak dahulu meyakini Cheng Ho seorang muslim.
(3) Kong Yuanzhi, Cheng Ho – “Muslim Tionghoa, Misteri Perjalanan Muhibah di Nusantara”, Jakarta, Yayasan Pustaka Obor Indonesia, 2011,ms. 37
HUJAH KEMUSLIMAN CHENG HO 6 :
Dalam pelayarannya Laksamana Cheng Ho membawa ramai penganut agama Islam. Dr. Hamka mengatakan kapal-kapal Cheng Ho : “Diisi dengan perajurit yang kebanyakannya terdiri daripada orang Islam.” (11) Antaranya termasuklah beberapa orang tokoh muslim seperti Ma Huan, Guo Chongli, Hasan, Sha’ban dan Pu Heri. Ma Huan dan Guo Chongli tahu berbahasa Arab dan Parsi. Karya Ma Huan iaitu Pemandangan Indah di Seberang Samudera (Yi Ya Sheng Lan) banyak mengaitkan pelayaran itu dengan Islam. Hasan seorang ulama Masjid Qinjing di kota Xian, wilayah Shan. Sha’ban seorang muslim dari Calicut, India.(12)
Penilaian kita :
Hujah ini tidak cukup sebagai bukti muslimnya Cheng Ho memandangkan rombongannya yang seramai 27,800 orang di lautan itu turut terdiri daripada penganut agama Buddha, Tao dan Confucious. Jumlah mereka juga bukan sedikit. Selain Ma Huan, terdapat seorang lagi penulis bersama-sama pelayaran Cheng Ho iaitu Fei Xin yang menulis “Menikmati Pemandangan Indah dengan Rakit Sakti” (Xing Cha Sheng Lan). Dalam penulisannya, Fei Xin sangat kurang menyentuh tentang agama Islam. Boleh jadi dia bukan seorang muslim kerana para pengkaji tidak menemui bukti-bukti keIslamannya. (13)
Ringkasnya hujah kali ini bertaraf LEMAH namun jika dipadukan dengan hujah-hujah sebelum ini, mungkin dapat menaikkan martabat isinya iaitu Cheng Ho seorang muslim.
(1) Hamka, Star Weekly, 18 Mac 1961.
(2) Kong Yuanzhi, Cheng Ho – “Muslim Tionghoa, Misteri Perjalanan Muhibah di Nusantara”, Jakarta, Yayasan Pustaka Obor Indonesia, 2011,ms. 37
(3) Ibid.
|
|
|
Post by abuzulfiqar on Nov 11, 2011 9:19:25 GMT -5
HUJAH KEMUSLIMAN CHENG HO 7 : Cheng Ho punya hubungan rapat dengan masjid. Menurut Catatan Riwayat Daerah Xian (Xian Fu Zhi), Cheng Ho pernah memperkemaskan lagi binaan sebuah masjid di timur laut Xian pada 1413. Cheng Ho juga pernah meminta keizinan Maharaja China untuk membangunkan semula sebuah masjid terbakar di Jalan San San/Jian Kang di Nanjing dan permohonannya diluluskan. (14) Penilaian kita : Suatu ketika Laksamana Cheng Ho membawa Imam Hasan belayar dalam rombongannya. Tiba-tiba berlaku ribut besar menyebabkan kapal-kapal hampir-hampir terbalik. Ketika itu Imam Hasan mendirikan solat dan memohon pertolongan Allah. Kapal-kapal Cheng Ho berjaya diselamatkan. Kejadian ini membuatkan Cheng Ho berasa terhutang budi dengan Imam Hasan. Dia membalas jasa Imam Hasan dengan menaiktarafkan lagi masjid Imam Hasan di Xian. Hujah ini tidak termasuk ke dalam hujah yang kukuh (masih LEMAH) kerana boleh saja seorang pegawai tinggi negara menghadiahkan apa sahaja kepada orang bawahannya yang berjasa sekalipun berlainan agama. Sebagai contohnya, boleh saja Cheng Ho beragama Tao tetapi membiayai pembangunan masjid sebagai mengenang budi Imam Hasan. Lebih-lebih lagi agama Tao umumnya bersifat mesra dengan agama-agama lain. Pembinaan semula masjid yang terbakar boleh saja atas dasar seorang pegawai tinggi mahu memelihara kebajikan rakyatnya yang berbilang agama. Sebenarnya Cheng Ho juga pernah mendermakan kain bersulam benang emas dan perak, pedupaan, pot bunga, pelita lilin dan lain-lain kepada kuil Buddha di Sri Lanka pada tahun 1409. Catatan tentangnya terdapat pada Tugu Catatan Derma kepada Kuil Bukit Ceylon yang ditemui di kota Galle, Sri Lanka. Tugu itu kini berada di Muzium Colombo, Sri Lanka (15). Anak kapal Cheng Ho khususnya yang beragama Tao juga biasa menyembah dan memohon pertolongan kepad Dewi Sakti, terutama ketika laut bergelora (16). Selain Imam Hasan, Cheng Ho turut membawa pendeta agama Buddha bernama Fei Huan dalam pelayarannya (17). Orang-orang Cina mengenali Cheng Ho sebagai Sam Po Kong. Para penganut agama Tao dan Confucious khususnya mendirikan kuil , membina patung Sam Po Kong dan menyembahnya. Mereka menganggap Cheng Ho/ Sam Po Kong sebagai dewa. Beberapa kuil Sam Po Kong diasaskan sejak zaman Cheng Ho lagi. Kuil-kuil penyembah Sam Po Kong terdapat di banyak tempat termasuklah di Indonesia dan Malaysia. Antaranya di Semarang, Melaka, Terengganu, Ayuthia (Thailand), Jakarta, Surabaya, Sarawak, Singapura dan lain-lain yang masih kekal sehingga ke hari ini. Mengapa banyak kuil yang dikaitkan dengan Cheng Ho dan bukannya masjid? Adakah Cheng Ho/ Sam Po Kong seorang muslim? Adakah penganut agama Tao dan Confucious mengambil seorang muslim sebagai salah seorang dewa sembahan mereka? Di Indonesia kan ada Masjid Cheng Ho? Ya, tetapi masjid itu baru sahaja didirikan pada zaman kita ini lalu dinamakan sebagai Masjid Cheng Ho. Oleh itu hujah kemusliman Cheng Ho berdasarkan ramai ahli rombongannya beragama Islam, dia pernah berjasa kepada masjid dan membawa Imam Hasan masih dalam kategori LEMAH. Tahukah anda, berhala terbesar Cheng Ho/ Sam Po Kong setinggi 12.7 meter baru sahaja dirasmikan di Kuil Sam Po, Semarang, Indonesia pada 29 Julai 2011 lalu? Patung itu diimport khas dari negara China. Perancangan awal mahukan patung itu dibina setinggi 20 meter tetapi dibatalkan (18). Apakah agama Cheng Ho? Memang biasakah penganut agama-agama kuno China mendewakan dan menyembah seorang tokoh yang bukan dari agama mereka khususnya Islam? Jika benar Cheng Ho seorang muslim, kita redhakan sajakah dia diberhalakan? ... Banyak persoalan yang bermain-main di fikiran kita. (4) Ibid, ms 38 (5) Ibid, ms 40 (6) Ibid. (7) Zheng Yijun, “Tentang Pelayaran Cheng Ho ke Samudera Barat”, Balai Penerbit Samudra, Beijing, 1985, ms 426. (8) travel.kompas.com/read/2011/07/27/20585041/Jumat.Patung.Cheng.Ho.Diresmikan bersambung lagi...
|
|