|
Post by alghazali on Nov 18, 2010 2:33:44 GMT -5
Siri PTI (Penerangan Tasawwuf Islami) (1): Kedudukan Tasawwuf dalam Agama Islam
I. TASAWUF MERUPAKAN SEBAHAGIAN DARI RISALAH ISLAMIYAH Risalah menurut bahasa ialah sesuatu yang di berikan, perintah atau pesanan yang terdiri daripada beberapa masalah yang sama jenis, sedangkan majalah pula bermakna suatu lembaran yang berisi tentang hukum. Ar-Risalah berbeza dengan an-Nubuwah yang berarti kekhususan yang diberikan kepada seseorang hamba yang mana dia dapat mendengar wahyu Allah berupa hukum taklifi, baik di perintah untuk menyampaikan atau tidak. Tugas-tugas risalah Islamiyyah itu juga, mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya, memimpin umat dan mentarbiyah para pengikutnya dengan pendidikan yang luhur bersesuaian dengan tahap keimanan mereka kepada Allah s.w.t.. Jika kita klasfikasikan, tugas-tugas Rasulullah s.a.w. ini sebenarnya berdiri di atas tiga unsur yang dasar secara saling berkaitan antara satu sama lain dan tidak terpisah-pisah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sebagaimana telah Kami utus kepada kalian seorang Rasul dari kalian yang membacakan ayat-ayat Kami kepadamu dan mensucikanmu dan mengajarkan kitab-kitab dan hikmah serta mengajarkanmu apa-apa yang belum kalian ketahui”. (Surah al-Baqarah :151) Tiga unsur pokok itu adalah sebagai berikut: 1. Tabligul ahkam. Menyampaikan hukum-hukum agama kepada manusia, iaitu perintah dan larangan serta halal dan haram dalam urusan ibadah dan muamalat. Di mana unsur ini setelah peristiwa fitnah (di masa Khalifah terakhir Khulafa ar-Rasyidin) diambil alih peranannya oleh para ulama Islam yang disebut faqih atau fuqaha'. 2. Tanfidzul Hukm. Pelaksanaan kekuasaan (pemerintahan), memimpin dan mengatur umat dalam urusan agama dan kehidupan dunia. Maka Rasulullah s.a.w. bagi kaumnya adalah seorang pimpinan, penguasa dan yang mengatur siasah agama dan duniawi serta yang membimbing manusia agar mereka mengenal hakikat kehidupan dunia yang mereka lalui. Misi tugas ini setelah zaman fitnah tadi diteruskan peranannya oleh para khalifah daulah Islam sepanjang masa. 3. Tazkiyatunnufus. Menyucikan serta mendidik jiwa umat. Kata zakah atau tazkiyah dalam kamus moden disebut sebagai tarbiyah, kerana tazkiyah adalah mendidik jiwa, mengendalikan syahwat dan membuat penguasaan akal terhadap hawa nafsu serta menciptakan manusia-manusia yang mampu untuk menyelaraskan kelakuan peribadinya agar sesuai dengan kehendak Allah s.w.t.. Ini merupakan realisasi makna firman Allah s.w.t. yang bermaksud “Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikkan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu.” (Surah asy-Syams: 7-9) Zakkaha bermakna mendidik sehingga nafsu itu menjadi terdidik dan terkawal lagi terkendali. Sesungguhnya manusia apabila membiarkan dan melepaskan nafsunya berbuat sesuai dengan keinginan serta kehendak sendiri, maka nafsunya itu sedang membawa tuannya menuju malapetaka. Seseorang yang telah membiarkan nafsunya melakukan sesuatu yang sesuai dengan kemahuannya sendiri tanpa di kawal,dia tidak akan mampu melakukan kebaikan untuk dirinya apalagi kepada orang lain. Unsur pokok ketiga ini –tazkiyyatunufus- setelah zaman fitnah tersebut, ia mula dikenali dalam umat Islam dengan nama tasawuf dan hal ini direalisasikan melalui ijtihad para shufi ahli sunnah wal jama’ah. Dengan demikian tasawuf merupakan bahagian dari misi Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. sebagai utusan Allah. Tiga unsur pokok Risalah Islamiyah ini terus berlangsung hingga masa Khulafa ar-Rasyidin dan dipikul oleh para khalifahnya. Setiap khalifah bertanggung jawab menjalankan misi tersebut (tabligh, tazkiyah dan tanfidz, atau dalam bahasa modennya: ta’lim, tarbiyah dan siyasah) sehingga muncul fitnah di akhir zaman khilafah Saidina Ali . dan permulaan Daulah Dinasti Umawiyah. Seiring dengan terpecahnya umat Islam tersebut, maka dari urusan pilitik sehinggalah ke sektor kehidupan yang lain, bulatan tiga misi pokok tersebut mulai terpisah-pisah. Sejajar dengan perkembangan daulah umat Islam, tiga pokok misi Nubuwah itu terus terpisah kepada tiga komponen yang dipikul oleh tiga golongan yang berbeza iaitu: Ta'lim – Ulama’ Fikih (Fuqaha), Tarbiah - Ulama Tasawuf (Shufi) dan Siasah - Amirul Mukminin (Khalifah). Setiap khalifah dalam Daulah Islam Dinansti Umawiyah – kecuali Khalifah Umar bin Abdul Aziz- tidak lagi menjadi pemegang amanah dalam melaksanakan tiga misi Nubuwah tersebut sekaligus. Para khalifah tersebut hanya mengurus dan mengendalikan urusan kekuasaan, politik dan hukum negara berdasarkan al-Qur’an dan hadits. Adapun dua misi Risalah lainnya diwarisi dan dikembangkan oleh ulama Islam, terdiri dari: fuqaha yang mewariskan tablighul ahkam, iaitu pengembangan hukum-hukum Islam yang menyangkut urusan Ibadah dan sekitar persoalan mu’amalah, yang kemudiannya dikenali sebagai ilmu-ilmu Fiqh; dan ulama tasawuf yang mewariskan misi tazkiyatunnufus, iaitu mentarbiah rohaniah dan akhlak umat, yang mana, pada pertengahan abad kedua Hijrah, ia dikenali dengan sebutan shufi dengan karya-karyanya yang dituang dalam buku tasawuf. Dan keadaan ini terus berlangsung hingga runtuhnya daulah islamiah secara keseluruhannya pada tahun 1924M dan hingga sekarang. (Sumber: Memahami Tasawwuf Islam yang Sahih oleh Sheikhna Sayyidi As-Syarif Abu Muhammad Rahimuddin bin Nawawi Al-Azmatkhan Al-Bantani)
|
|
|
Post by alghazali on Nov 18, 2010 2:46:53 GMT -5
II. SALAH SATU RUKUN AGAMA
Tasawuf adalah salah satu daripada rukun agama Islam. Hal ini diambil dari sebuah Hadis panjang yang diriwayatkan Umar bin Khathab r.a., beliau berkata: بينما نحن جلوس عند رسول الله صلى الله عليه وسلم ذات يوم ، إذ طلع علينا رجل شديد بياض الثياب ، شديد سواد الشعر ، لا يرى عليه أثر السفر ولا يعرفه منا أحد ، حتى جلس إلى النبي صلى الله عليه وسلم ، فأسند ركبتيه إلى ركبتيه ، ووضع كفيه إلى فخذيه ، وقال : يا محمد أخبرني عن الإسلام ؟ ، قال : الإسلام أن تشهد أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله ، وتقيم الصلاة ، وتؤتي الزكاة ، وتصوم رمضان ، وتحج البيت إن استطعت إليه سبيلا ، قـال : صدقت . قال : فعجبنا له يسأله ويصدقه . قال : فأخبرني عن الإيمان ؟ ، قال : أن تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله واليوم الآخر ، وتؤمن بالقدر خيره وشره ، قال : صدقت .قال : فأخبرني عن الإحسان ؟ ، قال : أن تعبد الله كأنك تراه ، فإن لم تكن تراه فإنه يراك . قال فأخبرني عن الساعة ؟ ، قال : ما المسئول عنها بأعلم من السائل ، قال: فأخبرني عن أماراتها ؟ ، قال : أن تلد الأمة ربتها ، وأن ترى الحفاة العراة العالة رعاء الشاء يتطاولون في البنيان ، ثم انطلق ، فلبثت مليا . ثم قال : يا عمر أتدري من السائل ؟ قلت : الله ورسوله أعلم ، قال : هذا جبريل أتاكم يعلمكم دينكم"
Maksudnya: “Ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w pada suatu hari, datang kepada kami seorang yang sangat putih bajunya, sangat hitam rambutnya, bekas perjalannya tidak terlihat (pada pakaian dan tubuhnya), dan tidak seorang pun mengenal diantara kami sampai dia duduk di hadapan Rasulullah s.a.w., menyandarkan kedua lututnya kepada lutut Rasulullah s.a.w., meletakkan kedua telapak tangannya di atas kedua pahanya, kemudian dia bertanya: Ya Rasulullah Saw beritahu aku tentang Islam? Rasulullah s.a.w. menjawab: Islam adalah bahawa engkau bersaksi tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad Saw utusan Allah , mendirikan shalat, membayar zakat, puasa di bulan Ramadhan, dan menunaikan ibadah haji jika mampu. Dia berkata: engkau benar. Sayyidina Umar berkata: kami terkejut kepadanya dia yang bertanya dia juga yang membenarkan.
Kemudian bertanya lagi, beritahu aku tentang iman? Rasulullah s.a.w. menjawab: engkau beriman kepada Allah s.w.t., kepada para malaikat, kitab-kitab, Rasul-Rasul-Nya, hari akhir dan engkau beriman kepada ketentuan baik dan buruk-Nya. Dia berkata: engkau benar.
Dia bertanya lagi tentang Ihsan? Rasulullah s.a.w. menjawab: "Engkau menyembah Allah s.w.t. seakan-akan engkau melihat Dia dan jika engkau tidak melihatNya maka sesungguhnya Dia melihatmu.
Selanjutnya dia bertanya tentang hari kiamat? Rasulullah s.a.w. menjawab: Tidaklah yang di tanya tentang hal itu lebih tahu dari yang bertanya, Dia berkata: beritahu aku tentang tanda-tandanya? Rasulullah s.a.w. menjawab: Apabila seorang hamba sahaya melahirkan anak tuannya, dan apabila orang yang bertelanjang kaki rakyat jelata lagi fakir miskin mereka berlomba bermegah-megahan dalam bangunan. Kemudian dia pergi dan saya berdiam lama.
Rasulullah s.a.w. bertanya; Wahai Umar engkau tahu siapa yang bertanya? Aku jawab: Allah s.w.t. dan RasulNya lebih tahu, Rasulullah berkata: Ini Jibril datang untuk mengajarkan agama kepada engkau".
Dari hadits ini jelas sekali bahawa agama yang di sisi Allah (iaitu Islam), agama yang di bawa oleh Jibril untuk dijelaskan, adalah Islam jika dilihat kepada perilaku lahiriyah dan aktiviti nyata, Iman jika dilihat dari sudut keyakinan dan aqidah yang membangkitkan aktiviti tersebut, dan Ihsan jika dilihat dari sudut cara penunaiannya yang sempurna serta pemenuhan tujuan ketika disertai oleh Iman dan amal sholeh.
Iman jika betul pastinya akan menghasilkan amal, begitu juga amal jika betul juga merupakan natijah dari iman yang betul, sedang Ihsan pula, jika betul maka dimunculkannya dari iman yang dalam dan amal yang sempurna tadi. Dalam al-Qur’an, terdapat puluhan ayat yang menerangkan agama ini dan menjelaskan tuntunannya dengan menyebut berkali-kali kata-kata Islam, Iman dan Ihsan; agar kesatuan kata tersebut menjadi mercutanda yang menyinari jalan dan menggiringnya kepada tujuan.
Kalau begitu, tiga kata berbeda: Islam, Iman dan Ihsan itu menyimbulkan satu hakikat. Ketika kita lihat dari beberapa sudut, maka masing-masing akan memberikan kriteria khusus, disamping bahawa semua sifat-sifat tersebut saling menjalin dan menjelaskan dalam membatasi satu hakikat. Oleh kerana itu hadits tersebut diakhiri dengan ungkapan: “..dia adalah Jibril datang untuk mengajarkan AGAMA kalian”, iaitu: bahawa agama yang dibawa dan diajarkan Jibril adalah Islam.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Mereka adalah orang-orang yang beriman kepada yang ghaib, mendirikan shalat dan menafkahkan sebagaian yang telah KamiI rezekikan kepada mereka”. (Surah al-Baqarah: 3). Simbol-simbol ini merupakan unsur terpenting dalam Islam.
FirmanNya lagi
“Katakanlah: Sesungguhnya aku diperintahkan agar menyembah Allah dengan ikhlas keranaNya dalam (menjalankan) agama, dan aku diperintah agar menjadi orang muslim yang pertama”. (Surah az-Zumar: 11-12).
Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud: “Dan siapakah yang lebih baik agamanya dari pada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang diapun mengerjakan kebaikan.. “. (Surah an-Nisa’:125).
Di dalam ayat-ayat di atas terdapat secara sinonim ungkapan Islam, Ihsan berdiri di atas bahawa iman yang bersemayam di dalam qalbu adalah suatu kewujudan yang pasti, jika tidak, maka tidak dapat dibayangkan bahawa di sana terdapat Islam dan Ihsan. Jika ayat tersebut membahas dari sisi lahiriyah (Islam) dari inti agama, maka ayat berikut ini membahas dan mentakrifkan hakikat serta keaslianakar nya.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang jika disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan jika dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka..”. (Surah al-Anfaal :2)
Dari sini kita dapat melihat bahawa kaitan-kaitan Iman itu banyak, tidak boleh satu dengan lainnya terpisah-pisah, sebagaimana bahawa pengaruh iman secara praktis (amaliah) – iaitu inti keIslaman - tidak mungkin terlepas satu sama lain dari sifat (ciri) keyakinan.
Kemudian, (persoalan) apakah Iman itu..? Iman adalah sebuah pengetahuan yang telah menyentuh dinding keyakinan atau ilmu yang disertai kepastian (yakin). Hakikat keimanan yang terdapat dalam jiwa berbeda-beda menurut perbedaan sempit dan luasnya ilmu dan pengetahuan serta dalam dan dangkal keyakinannya.
Apakah Islam itu..? kata Islam menurut signifikasi lingual (etimologi) serta terminologi agama, berarti ketundukan sepenuhnya kepada Allah , bukan ketundukan sebahagian (parsial), ketundukan bersyarat, atau terpaksa, melainkan ketundukan yang dapat memindahkan iman yang bersemayam di dalam hati kepada aktiviiti yang mewarnai seluruh anggota tubuh, serta dapat menterjemahkan keyakinan kepada ketaatan dalam kehidupan khusus dan umum. Hikmah dari semua itu adalah melatih manusia agar: (1) Taat kepada Allah s.w.t., (2). Kepatuhan secara keseluruhan, (3) Jauh dari berbagai kehinaan.
Rukun-rukun ibadah tersebut memiliki kesan positif terhadap kehidupan psikologi dan sosiologi yang cukup luas, tidak bisa dijelaskan panjang lebar di sini, namun penulis hanya ingin menekankan bahawa barangsiapa yang menunaikan rukun-rukun tersebut kemudian tidak mendapatkan nilai ketundukan yang patut dalam berbagai perilakunya, maka seolah-olah ia sama seperti tidak melakukan sesuatu apapun, meskipun banyak amalnya. Apakah nilai shalat dan puasa yang tidak mengajarkan kebersihan jiwa dan perilaku manusia..?. Peribadi inilah yang disinggung dalam sebuah hadits berikut:
عن ثوبان عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : ((لأعلمن أقواما من أمتي يأتون يوم القيامة بأعمال –أمثال جبال تهامة- بيضاء , فيجعلها الله هباء منثورا , قال ثوبان يا رسول الله : صفهم لنا وحلّهم لنا لا نكون منهم ونحن لا نعلم , قال : أما هم إخوانكم , ومن جلدتكم , ويأخذون من الليل كما تأخذون , ولكنهم قوم إذا خلوا بمحارم الله انتهكوا))
Maksudnya: Dari Tsauban, Nabi s.a.w. bersabda: “Akan aku beritahukan tentang beberapa kelompok umatku yang datang dengan membawa amal-amal baik di hari Kiamat (sebesar gunung-gunung Tihamah), maka Allah jadikan semua amal itu bagaikan debu yang berterbangan (tidak ada nilainya)”. Tsauban bertanya: Wahai Rasulullah, beritahu kepada kami, jelaskan sifat-sifatnya, kami khuatir menjadi sebahagian daripada mereka dan kami tidak merasa, Nabi s.a.w. menjawab: “Ketahuilah, mereka adalah saudara kalian, dari bangsa kalian, mereka menggunakan waktu malam sebagaimana kalian, namun mereka adalah orang-orang yang apabila bersendiri dengan larangan (haram) Allah melanggarnya”. (Hadits riwayat:. Ibnu Majah.)
Mereka hanya menunaikan rukun-rukun lahiriah yang tidak meninggalkan kekhusyukan yang patut, tidak menciptakan jiwa yang sihat dan merasa diawasi (muraqabah) oleh Allah s.w.t. dalam kesendirian dan di tengah keramaian, juga di dalam dirinya tidak memiliki semangat ketundukan secara keseluruhan kepada segala larangan dan perintah Allah s.w.t., oleh kerana itu tidak diberi nilai meskipun amal tersebut mencapai sebesar gunung. Lalu apakah Ihsan itu…? Ihsan adalah natijah dari kebenaran Iman dan kesempurnaan Islam.
Jika Iman dan Islam telah terhimpun, mengalir di dalamnya rasa keyakinan serta telah optimal seluruh amal shaleh, maka tidak syak lagi seorang itu menjadi MUHSIN.
Dalam hadits:
أن تعبد الله كأنك تراه ، فإن لم تكن تراه فإنه يراك
Maksudnya: “Bahawasanya engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatNya, Kemudian jika engkau tidak dapat melihatNya, maka Dia melihat kamu”.
Maka penyaksian Allah di tengah melakukan berbagai aktiviti ibadah merupakan pembangkit atau pendorong terhadap penunaiannya secara baik dan sempurna. Hal ini bukanlah khayalan kepada sebuah gambaran, namun perasaan wujud Allah dan pencapaian terhadap hakNya s.w.t..
Apabila seseorang tidak mencapai tahapan ini, maka minimal harus ada pada tahapan berikut, iaitu merasa ada pengawasan dari Allah s.w.t. (muraqabatullah,). Dan tidak boleh turun kepada tahapan lain, kerana itu sebuah kelalaian jiwa yang perlu pengubatan (tarbiyah) serius. Inilah tiga rukun agama yang Nabi s.a.w. sabdakan – setelah dijelaskan satu persatu - sebagai AGAMA dengan sabdanya: “Dia adalah Jibril datang kepada kalian untuk mengajarkan AGAMA kalian” iaitu Islam, Iman dan Ihsan.
Konkritnya Ihsan itu adalah TASAWUF, iaitu maqam musyahadah dan muraqabah dalam kesendirian dan keramaian, penyaksian adanya Allah dalam berbagai, sebelum, sesudah, ketika di atas, di bawah serta meliputi segala perkara. Oleh sebab itu, Imam Ibnu ‘Atho`illah al-Sakandari berkata dalam Hikamnya: “Sesungguhnya Allah tidaklah menciptakan berbagai alam sekedar untuk dipandang sahaja, melainkan agar engkau menyaksikan Penciptanya, melihat kebesaran, penciptaan, kekuasaan, kelembutan, rahmat dan kekukuhan ciptaan-NYA.”
(Sumber: Buku Memahami Tasawwuf Islam yang Sahih oleh Sheikhna As-Syarif Abu Muhammad Rahimuddin bin Nawawi Al-Azmatkhan Al-Bantani)
|
|
|
Post by alghazali on Nov 18, 2010 2:57:01 GMT -5
III. HAKIKAT DALAM SYARI'AH DAN THARIQAH
Dalam hadits Umar r.a. lalu, terdapat pembahagian agama kedalam tiga rukun atau tahapan, ini difahami dari sabda Nabi s.a.w.: “Dia adalah Jibril datang kepada kalian untuk mengajarkan AGAMA kalian”.
A. Rukun Islam, iaitu sisi amali , berupa ‘ibadah, mua’malat dan perkara ibadah lainnya, tempat dan perangkatnya adalah anggota tubuh lahiriyah. Ulama telah memberikan istilah syari’ah, dan yang mempunyai pengkhususan melakukan kajian ini adalah para pembesar ahli fikih.
B. Rukun Iman, iaitu sisi i’tiqad qalbu (keyakinan hati), berupa iman kepada Allah, Malaikat, Kitab-kitab, Para Rasul, Hari akhir dan Qadha dan Qadar. Ulama telah memberikan istilah thariqah, dan yang melakukan pengkhususan kajian bidang ini adalah para pembesar ulama Tauhid.
Kata Islam dan Iman meskipun saling bertalian kuat, namun antara keduanya ada umum dan khusus, setiap seorang mukmin adalah muslim, namun tidak setiap muslim itu mukmin. Dalilnya firman Allah s.w.t.:
“Orang-orang Arab Badui itu berkata: “kami telah beriman”, Katakanlah (kepada mereka)”kamu belum beriman, tetapi katakanlah ‘kami telah tunduk (Islam), kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu…”.(Surah al-Hujuraat: 14).
C. Rukun Ihsan, iaitu sisi ruh dalam hati (kerohanian); adalah musyahadah (engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya), muraqabah (jika engkau tidak (merasa) melihatNya maka Dia melihat kamu), ahwal kerohanian (ahwal) serta kesudahan atau natijahnya adalah berupa, dzauq wijdani, maqamat irfaniah (akhlak mulia) dan ilmu-ilmu wahbiyah (hikmah).
Para ulama menamakan hakikat, dan yang berkelayakan terhadap kajian bidang ini adalah para pembesar ulama shufi. Untuk menjelaskan hubungan antara syari'at dan hakikat, kita dapat membuat contoh yang kukuh, seperti ibadah shalat; melakukan gerakan shalat, serta aktiviti lahiriah lainnya yang dituturkan oleh ulama fikih, merupakan peranan dari sudut syari'at, adalah merupakan jasad shalat. Sedangkan kehadiran dan kekhusyu’an hati kepada Allah dalam mendirikan shalat adalah peranan dari sudut hakikat, adalah ruhnya shalat.
Jadi aktiviti gerakan fizikal dalam shalat adalah jasad shalat, dan khusyu adalah ruhnya. Apakah faedah jasad jika tanpa ruh, sebagaimana ruh perlu kepada jasad sebagai tempatnya, demikian jasad juga memerlukan ruh sebagai motornya, oleh kerana itu Allah berfirman:
“Dan dirikanlah shalat dan tunaikanlah zakat…”. (Surah al-Baqarah: 43).
‘Mendirikan’ di sini hanya dapat dilakukan dengan adanya jasad dan ruh. Demikian, para shufi itu mengarahkan dan membina umat Islam agar menjadi mukmin sempurna yang menghimpun antara syari'at dan hakikat, sebagaimana yang mereka ikuti jejak Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya.
Untuk mencapai makam yang luhur dan iman yang sempurna ini harus menempuh jalannya (thariqah), apakah thariqah yang harus ditempuh oleh seorang salik tersebut? Iaitu mujahadatun nafs, meninggalkan sifat-sifat tercela menuju sifat-sifat sempurna dan meningkatkan kesempurnaan akhlak (maqamat), inilah jambatan penghubung antara syari'at kepada hakikat. Imam al-Jurjani berkata: “Thariqah adalah perjalanan khusus para salik (penempuh mujahadatunnafs menuju ma’rifatullah) menuju Allah s.w.t. dengan menempuh dan meningkatkan berbagai tingkatan kerohanian dan maqamat.
Maka syari'at adalah asas, thariqah adalah sarana, dan hakikat adalah buah hasilnya. Ketiga-tiga komponen ini sebuah gabungan yang sempurna, tidak berlawanan dan bertentangan. Barangsiapa berpegang kepada yang pertama dan menempuh jalan kedua, maka ia telah sampai kepada yang ketiga. Para tokoh shufi dalam sebuah kaedah mereka berkata: “Setiap hakikat yang menyalahi syari'ah maka ia zindiq”. Bagaimana mungkin hakikat menyalahi syari'at sedang ia natijah dari pengamalan syari'at, atau dengan kata lain, hakikat adalah batinnya syari'at dan syari'at adalah zahirnya hakikat.
Para salafus shaleh, ulama shufi yang shadiq dengan sebenar-benarnya ubudiyah dan Islam yang shahih telah betul-betul dapat merealisasikan semua itu, kerana mereka telah menghimpun antara syari'at, thariqah dan hakikat. Dengan begitu mereka dapat menunjukan manusia ke jalan yang lurus. Agama jika kering dari hakikatnya, akan kering akarnya, layu batangnya dan rosak buahnya.
Syaikh Ahmad Zarruq r.a. berkata dalam salah satu kaedahnya:
“Mengembalikan sesuatu kepada asalnya dan membangunkan dalilnya itu dapat menolak perkataan orang yang mengingkari hakikat sesuatu tersebut. Asas tasawuf adalah maqam Ihsan sebagaimana yang telah ditafsirkan oleh Rasullah s.a.w.:
(أن تعبد الله كأنك تراه ، فإن لم تكن تراه فإنه يراك) “Engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau meliha-Nya, kemudian jika engkau tidak dapat melihatNya, maka Dia melihat kamu”, kerana seluruh makna sidqut tawajuh kembali kepada asas ini, serta sebagai terasnya, sebab kata ‘sidqut tawajuh’ melambangkan makna penuntutan muraqabah yang lazim.
Maka anjuran kepada kandungan sidqut tawajuh adalah inti Ihsan itu sendiri, sebagaimana fikih berkisar pada maqam Islam, dan ushul agama (tauhid) pada maqam Iman. Jadi tasawuf adalah merupakan bahagian agama yang diajarkan oleh Jibril kepada para sahabat Nabi s.a.w.”. Jelas dan terjawablah sudah pertanyaan yang selama ini bermain di benak pembaca, bahawa tasawuf bukan susupan dari luar Islam, bahkan ia lahir dari dalam Islam dan tumbuh besar di lingkungan Islam. Tasawuf adalah bahagian misi Islam, salah satu rukun agama Islam dan hakikat dari syari'ah dan thariqah.
(Sumber: Buku Memahami Tasawwuf Islam yang Sahih oleh Sheikh AS-Syarif Abu Muhammad Rahimuddin bin Nawawi Al-Azmatkhan Al-Bantani)
|
|