Assalamu'alaikum,
Bagaimana pula dengna hadith ini ?
“barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam maka dia itu bukan dari kalangan mereka” (riwayat baihaqi)
Seorang pengkaji hadith iaitu Albani mengatakan ia adalah sangat lemah.
Hadis tersebut berbunyi:
مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ
Maksudnya: "Sesiapa yang tidak mengambil berat dengan urusan muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka".
Hadis ini diriwayatkan dengan banyak bentuk samada diriwayatkan dengan bentuk di atas atau dengan beberapa penambahan lafaz sebelum atau selepas hadis di atas.
Pertama: Ia diriwayatkan oleh Imam At-Tabrani dalam Al-Mu'jam Al-Ausath (no: 7672)dan Al-Mu'jam As-Shaghir (no: 909) dengan penambangan lafaz selepas itu: "وَمَنْ لا يُصْبِحُ وَيُمْسِي نَاصِحًا لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِكِتَابِهِ وَلإِمَامِهِ وَلِعَامَّةِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ
Maksudnya:
"Dan sesiapa yang tidak berpagi-pagian dan berpetang-petang sebagai penasihat bagi (kepada) Allah, Rasul-Nya, kitabNya, pemimpinnya dan seluruh umat Islam, maka dia bukan dari kalangan mereka".
Ia juga diriwayatkan oleh Imam Abu NU'aim dalam Akhbar Asfahan. Kesemua mereka daripada sahabat r.a. bernama HUzaifah r.a..
Sanad ini daripada Abu Al-'Aliyyah daripada Huzaifah r.a.. Imam At-Tabrani sendiri menjelaskan bahawasanya hadis ini dengan sanad ini hanya diriwayatkan melalui riwayat Abdullah bin Abi Ja'far.
Nama beliau sebenar adalah Abdullah bin Mahan atau Abu Ja'far Isa bin Mahan.
Abdullah bin Abi Ja'far Ar-razi ini dinilai dengan penilai yang berbeza dalam kalangan ulama'.
Imam Muhammad bin Hamid berkata: "Abdullah bin Abi Ja'far seorang yang fasiq. Saya mendengar 10 ribu hadis daripadanya lalu saya membalingnya kepadanya".
Namun, Imam Abu Zur'ah dan Abu Hatim berkata tentang beliau: "Thiqah". Imam Abu Hatim menambah lagi: "Shoduq (benar)".
Imam Abu Ahmad berkata: "Sebahagian hadisnya adalah antara yang tiada penyertaan (sanad-sanad lain) kepadanya."
Imam Ibn Hibban menyebut beliau dalam kitab At-Thiqah.
Ini adalah sanad yang terkuat bagi hadis ini walaupun ada kelemahannya.
Kedua: Antara sanad-sanadnya adalah daripada Syaqiq bin Salamah daripada Huzaifah r.a..
Imam Ibn Al-Jauzi meriwayatkannya dalam Al-Maudhu'at (3/132) di mana dalam riwayat tersebut mengandungi perawi bernama Ishaq bin Bisyr.
Beliau dinilai lemah oleh ramai ulama' sebagaimana dalam Mizan Al-I'tidal (1/184) dan sebagainya. Hadis ini dengan riwayat ini juga dinilai dhoif oleh Al-Hafiz Al-'Iraqi dalam Takhrij Al-Ihya' (2/180).
Ketiga: Hadis lain pula, daripada Abdullah bin Mas'ud r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda:
( من أصبح وهمه غير الله عز وجل فليس من الله في شيء ، ومن لم يهتم للمسلمين فليس منهم )
Maksudnya: Sesiapa yang berpagi-pagian sedangkan kepentingannya (fokusnya) adalah kepada selain Allah s.w.t. maka dia tidak akan mendapat apa-apa daripada Allah s.w.t.. Sesiapa yang tidak mengambil berat tentang muslimini maka dia bukan dari kalangan mereka.
Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Hakim dalam Al-Mustadrak (4/356), Abu Abdillah Ad-Daqqaq dalam Majlis Imla' fi Ru'yatillah (no: 396) dan Ibn Basyran dalam Al-Amali (no: 395).
Sanad ini juga mengandungi Ishaq bin Bisyr yang dinilai oleh sebahagian ulama' sebagai dhaif. Begitu juga dengan Muqatil bin Sulaiman yang dinilai sebagai tidak thiqah.
Imam Az-Zahabi berkata dalam Talkhis Al-Mustadrak:
Ishaq dan Muqatil tidaklah thiqah dan tidaklah shadiq (orang yang benar).. (Rujuk juga Al-La'ie Al-Masnu'ah no: 2237)
Keempat: Hadis lain daripada Abu Zar r.a. daripada Nabi s.a.w.:
( من أصبح وهمه الدنيا فليس من الله في شيء ، ومن لم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم
Maksudnya: "Sesiapa yang berpagi-pagian sedangkan kepentingannya (fokusnya) adalah kepada selain Allah s.w.t. maka dia tidak akan mendapat apa-apa daripada Allah s.w.t.. Sesiapa yang tidak mengambil berat tentang musliminin maka dia bukan dari kalangan mereka."
Ia dikeluarkan oleh Al-Mu'jam Al-Ausath (no: 471) melalui jalan Yazid bin Rabi'ah dan Al-Hafiz As-Suyuti dalam Al-La'ie Al-Masnu'ah no: 2238. Imam At-Tabrani berkata:
لا يُرْوَى هَذَا الْحَدِيثُ إِلا بِهَذَا الإِسْنَادِ ، تَفَرَّدَ بِهِ : يَزِيدُ بْنُ رَبِيعَةَ .
Maksudnya: "Tidak diriwayatkan hadis ini melainkan dengan sanad ini. Maka, Yazid bin Rabi'ah bersendirian dalam periwayatannya.
Yazid bin Rabi'ah ini dinilai sangat lemah oleh ramai para pengkaji sanad hadis.
Imam Al-Bukhari berkata: "Hadis-hadisnya manakir (munkar)"
Imam An-Nasa'ie berkata: "Matruk (ditinggalkan periwayatannya).
Rujuk Mizan Al-I'tidal (4/422).
Kemudian, hadis ini juga diriwayatkan daripada Anas r.a. sebagaimana dikeluarkan oleh Ibn 'Adiy dalam Al-Kamil (7/67) dan Al-Baihaqi dalam Syu'ab Al-Iman (7/361).
Sanad ini dinilai lemah kerana mengandungi perawi bernama Wahb bin Rasyid dan Farqad.
Wahb bin Rasyid:-
Imam Ad-Darqutni berkata tentangnya: "Matruk".
Imam Ibn Hibban berkata tentangnya: "tidak boleh berhujah dengannya dalam keadaan apapun".
[Rujuk Mizan Al-I'tidal (4/352)]
Imam Ibn Adi Al-Jurjani juga berkata:
ليست روايته بالمستقيمة، أحاديثه كلها فيها نظر
Maksudnya: "Tiada riwayatnya yang kuat. Hadis-hadisnya semuanya perlu dinilai".
Farqad (bin Ya'qub Al-Bashri):-
Imam Yahya bin Sa'id Al-Qatthan berkata tentangnya: "Aku tidak kagum periwayatan hadis daripadanya".
Imam Ahmad berkata: "Orang soleh tetapi tidak kuat dalam hadis. Beliau bukan shohib hadis".
Imam Al-Bukhari berkata: "Baginya hafis munkar".
Imam An-NAsa'ie berkata: "Tidak thiqah".
Imam Abu Hatim berkata: tidak kuat dalam hadis".
Imam Yahya bin Ma'in berkata: "Thiqah".
Imam At-Tirmizi berkata: "Yahya bin Sa'id mengkritik beliau tetapi manusia (ulama') meriwayatkan daripada beliau".
Bagaimanapun, Imam At-Tirmizi dan Imam Ibn Majah meriwayatkan hadis-hadis beliau.
[Tahzib Al-Kummal]
Imam Al-Baihaqi sendiri mengatakan bahawasanya sanad ini dha'if kerana mengandungi Farqad As-Sabkhi yang lemah hadisnya dan banyak salahnya.
Kesimpulannya, hadis ini diriwayatkan oleh banyak jalan yang mana kesemua jalannya tidak terlepas daripada sudut kelemahan walaupun tidak terlalu lemah terutamanya hadis jenis pertama daripada jalan Abdullah bin Abi Ja'far. Namun, hadis ini tetap boleh dinilai sebagai hadis walaupun lemah dan tidak boleh dikatakan hadis ini sebagai palsu.
Bahkan, ada hadis yang kuat yang menguatkan makna hadis ini iaitu:
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ
Maksudnya: "Perumpamaan mu'minin itu dalam kasih dan belas kasihan serta sayang mereka seumpama jasad..." Hadis riwayat Al-BUkhari dan Muslim.
Wallahu a'lam...